Rabu, 29 April 2009

Sejarah IPGM – Kampus Pendidikan Teknik


IPGM – Kampus Pendidikan Teknik

IPGM – Kampus Pendidikan Teknik adalah sebuah institusi pendidikan guru (IPG) yang dikhususkan untuk melatih guru-guru bidang teknik dan vokasional untuk ditempatkan di sekolah-sekolah teknik dan vokasional di seluruh Malaysia.
IPGM – Kampus Pendidikan Teknik lahir setelah proses naik taraf daripada maktab kepada institut dilaksanakan pada bulan April 2006 setelah dipersetujui oleh Kabinet Malaysia.

Moto Berusaha dan Berbakti
Ditubuhkan 17 Mei 1962
Rektor Puan Hajah Zakiyah binti Idris AMN
HEP Tuan Haji Muaaz bin Muhamad
Lokasi Bandar Tun Razak, Cheras
Laman web http://www.ipteknik.edu.my


Sejarah ringkas
Selaras dengan syor-syor dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib tentang pendidikan teknik dan vokasional, Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran 1960 mencadangkan sebuah maktab perguruan teknik ditubuhkan selewat-lewatnya pada tahun 1962. Oleh itu dalam bulan Jun 1960, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mendapatkan pakar teknik dari Kanada bagi mengkaji penubuhan maktab perguruan teknik di negara ini.
Kemudian pada bulan Jun 1961, dengan kerjasama Kerajaan Kanada melalui Rancangan Colombo, dua orang pakar pendidikan teknik dan vokasional Kanada iaitu Encik C.C. Aschroft, pakar kejuruteraan dan bekas Pengetua Maktab Perguruan Teknik Ontario, Kanada dan Encik D.T. Dingwell, bekas guru teknik di Junior Technical Trade School, Kuala Lumpur (1956-1958) telah datang ke negara ini untuk membuat kajian. Hasilnya, mereka telah mengesyorkan kepada kerajaan beberapa langkah yang perlu diambil termasuklah anggaran perbelanjaan pembinaan bangunan, reka bentuk bangunan, bengkel, makmal, kurikulum dan sebagainya.
Berikutan itu, satu perjanjian kerjasama lima tahun telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan Kanada. Mengikut perjanjian tersebut, Kerajaan Kanada bertanggungjawab untuk menyediakan tenaga pengajar, merangka data kursus dan menganjurkan latihan untuk kakitangan tempatan di Kanada.
Dengan itu lahirlah Maktab Perguruan Teknik (MPT) pada 17 Mei 1962, selepas tibanya sekumpulan guru teknik dan vokasional dari Kanada yang diketuai oleh Encik B.F. Addy. Bangunan MPT yang pertama terletak di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Bangunan ini adalah bekas bangunan Kolej Perempuan Melayu (Malay Girl's College) yang telah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan. Kemudian pada akhir tahun 1967 apabila perkhidmatan kakitangan dari Kanada tamat, semua tanggungjawab untuk mengurus maktab ini diambil alih oleh pegawai-pegawai tempatan.
Peranan maktab ini telah menjadi bertambah penting dengan terlaksananya Sistem Pelajaran Aneka Jurusan dalam tahun 1965 yang memperkenalkan empat mata pelajaran baru di peringkat sekolah menengah rendah, iaitu Seni Perusahaan, Sains Pertanian, Perdagangan dan Sains Rumah Tangga.
MPT mula mengendalikan Kursus Pertukangan pada awal tahun 1970, apabila jabatan berkenaan di Maktab Perguruan Pertukangan di Kuantan dipindahkan ke sini. Pada tahun 1972 kursus Pengajian Perdagangan pula dimulakan apabila Jabatan Pengajian Perdagangan Maktab Perguruan Ilmu Khas dipindahkan ke maktab ini dalam usaha menggabungkan jurusan teknik dan vokasional.
MPT juga telah mengendalikan latihan perguruan dalam tiga komponen kursus Kemahiran Hidup: Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Manipulatif Tambahan dan Pertanian sejak 1989 sehingga kursus-kursus tersebut dipindahkan ke Maktab Perguruan Batu Pahat dalam tahun 1992.
Mulai tahun 2006, MPT dinaiktarafkan dengan kemampuan menganugerahkan Ijazah Perguruan kepada para pelajarnya. Ia mula dikenali sebagai Institut Perguruan Teknik (IPTKL) dan kini dikenali sebagai IPGM – Kampus Pendidikan Teknik.

Visi
Institut Perguruan Teknik adalah Institusi Latihan Pendidikan dan Pusat Rundingcara Pedagogi dalam bidang Sains dan Teknologi yang cemerlang, terkini dan bertaraf dunia.

Misi
Melahirkan pendidik yang intelek, berhemah tinggi, kreatif-inovatif, berdaya tahan serta berakhlak mulia untuk merealisasikan kemajuan institusi pendidikan.

Alamat
IPGM – Kampus Pendidikan Teknik,
Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak,
56000 Cheras,
Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.

Jurusan
Kemahiran Hidup & vokasional
Reka Bentuk & Teknologi(RBT3)
Matematik
Pemulihan Bahasa Melayu
Sains
Ekonomi Rumah Tangga

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Institut_Perguruan_Teknik

0 ulasan: